PETALING JAYA: Penyanyi Ramlah Ram muncul dengan penampilan barunya ketika menjadi artis undangan pada Separuh Akhir Muzik Muzik 25 yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Isnin.
Ramlah yang tampil sopan dengan menutup aurat dan mengenakan tudung telah menarik perhatian penonton yang menyaksikan pertandingan tersebut.
Ramlah menyampaikan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu. dan Ketentuan.
Kata Ramlah, ini adalah masa yang paling sesuai untuk dia menunaikan hasrat yang sudah lama terpendam itu.
“Hajat untuk bertudung sudah lama, tapi mungkin ketika itu belum bersedia sepenuhnya. Pada awalnya saya cuba pakai tudung ketika keluar tetapi tidak selalu.
“Secara rasminya saya bertudung baru beberapa minggu lalu dan sudah beberapa persembahan saya muncul dengan penampilan baru ini,” katanya.
Tambah Ramlah, penampilan barunya ini tidak mungkin membataskan aktiviti seni yang selama ini menjadi darah dagingnya.
“Saya masih Ramlah Ram yang lama, saya masih aktif menyanyi. Apa yang membezakan hanyalah penampilan saya.
“Saya rasa inilah imej yang sesuai dengan usia sekarang. Lagi pula saya rasa tenang selepas bertudung ini. Dari segi rezeki pula, saya hanya serahkan kepada Allah. Saya yakin saya masih boleh mencari rezeki dengan penampilan sebegini,” katanya.
Menurut Ramlah, keluarga dan peminat memberi maklum balas yang baik terhadap penghijrahannya ini.
“Keluarga sangat gembira dan menyokong saya untuk berubah. Begitu juga peminat yang beri respons positif ketika saya membuat persembahan dengan penampilan baru ini,” katanya.
Ujar Ramlah, tiada sebab yang lebih kukuh selain niat dalam hatinya untuk berubah kearah ini.
“Saya berubah bukan kerana kecewa dalam hubungan yang lalu atau menerima galakkan dari seorang lelaki baru tapi niat dalam hati yang betul-betul kuat menyuruh saya untuk menutup aurat.
“Berhubung pakaian dan persembahan, saya akan tampil dengan pakaian yang bersesuaian dengan lagu yang akan dibawa. Sekarang saya masih lagi mencari satu identiti atau trade mark yang sesuai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ramlah juga berhasrat untuk merakamkan lagu-lagu keislaman bersesuaian dengan imej dan usianya kini.
No comments:
Post a Comment